Text
"Jadikanku Seindah Wanita Solehah"
Posted by
Unknown
at
06:16
Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun,
mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk
menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa
yang tidak diketahuinya.
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal Al
Quran dan Al Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian.
Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian… Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!
Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada
makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan
bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu
hidup di dalam hati kita…kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita
akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa
akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat
saat kembali.
Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan… kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk
saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila
sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup
pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan.
Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!
Mengapa
terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal
senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak
ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak
memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif
tentang kehidupan:
“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan.”
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru,
hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan
dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman.
Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi
berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang
justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana
dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi
pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada
kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul
air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan
kita terang… untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap… untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah
berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah
kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah
tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa
kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah.
Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan
hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang.
Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika
memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan
doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan
tidak mencipta manusia bodoh… Tuhan mencipta manusia dengan
kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah “kebijaksanaan” itu
kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah
oleh kebimbangan dijemput maut… katalah pada diri, bila berdepan
dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan
kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan
menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa
akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana
memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia
akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di
dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan
kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya
proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti
kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya,
kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa
merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu
untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia
akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!
Pada kita, cuma pasrah…
0 comments:
Post a Comment